BM Version :
KK Super Mart Raih Pengiktirafan Tertinggi: Anugerah "The Great Asia Outstanding Corporation Award"
Kuala Lumpur – KK SUPER MART sekali lagi mengukir kejayaan luar biasa dengan menerima Anugerah "The Great Asia Outstanding Corporation Award" di Majlis berprestij "The Asia Economic & Entrepreneurship Summit" yang berlangsung di Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Penghargaan tertinggi ini disampaikan kepada Datuk Seri Dr. KK Chai, Pengasas dan Pengerusi KK SUPER MART, oleh Yang Amat Berhormat Dato' Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air. Majlis penuh gemilang ini turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato' Seri Utama Ahmad Fuzi Bin Haji Abdul Razak.
Pengiktirafan ini mencerminkan pencapaian KK SUPER MART yang berjaya meletakkan jenama tempatan ini di barisan hadapan perniagaan dalam industri peruncitan, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat serantau dan antarabangsa.
Datuk Seri Dr. KK Chai menyatakan bahawa penerimaan anugerah yang bermakna ini bukanlah pencapaian individu semata-mata. “Kejayaan ini bukan kejayaan inidividu semata-mata tetapi adalah hasil usaha gigih seluruh pasukan di KK SUPER MART yang sentiasa berdedikasi dan bekerja keras untuk memacu syarikat ke hadapan”, menurut beliau lagi.
Melihat dari konteks kejayaan sebagai rakyat Malaysia, Datuk Seri Dr. KK Chai turut mengaitkan kejayaan yang dicapainya dikaitkan dengan keunikan Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum, budaya dan agama. "Malaysia adalah faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan usahawan seperti saya. Kepelbagaian dan perpaduan rakyat Malaysia telah membuka peluang yang luas untuk kita semua berkembang bersama."
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Dato' Sri Haji Fadillah Haji Yusof serta Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato' Seri Utama Ahmad Fuzi Bin Haji Abdul Razak, atas sokongan mereka mengiktiraf majlis berprestij ini sekaligus memperkukuhkan lagi hubungan erat antara sektor perniagaan dan pihak kerajaan dalam bersama memajukan Malaysia.
KK SUPER MART di bawah pimpinan Datuk Seri Dr. KK Chai telah mencatatkan pelbagai kejayaan besar sejak penubuhannya pada tahun 2001. Bermula dengan sebuah kedai runcit kecil, kini jenama KK SUPER MART menjadi rangkaian kedai serbaneka 24 JAM tempatan yang dikenali ramai. Hampir 900 cawangan dapat dilihat di bandar, kawasan luar bandar, pusat membeli belah, universiti, lapangan terbang dan banyak lagi. Kejayaan penerimaan anugerah ini amat bermakna dan menjadi satu lagi batu loncatan yang penting dalam sejarah syarikat.






